80 Peratus Pasukan Liga M Sudah Berjaya Berbuat Demikian

Kuala Lumpur: Perubahan angin politik dan kekangan berikutan pand3mik Cov!d-19 tidak menghalang peralihan kuasa membabitkan persatuan bolasepak (FA) dan kelab bolasepak (FC) berjalan lancar dengan 80 peratus pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah berjaya berbuat demikian.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa memberikan bantuan dan penerangan kepada FA dan FC supaya mereka mematuhi garis panduan yang sudah ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, kebanyakan FC sudah memahami bahawa pengurusan tertinggi mereka tidak boleh dianggotai individu yang mempunyai jawatan di FA.

“Perkara terbabit sudah dijelaskan seterusnya mereka memahami perkara berkenaan dengan menyusun semula struktur organisasi masing-masing.

“Pada masa sama, kami memahami kekangan yang dihadapi mereka terutama dalam menyelesaikan beberapa perkara berikutan perubahan politik dan pand3mik Covid-19,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan individu yang mempunyai jawatan dalam FA dan FC perlu memilih antara dua iaitu mahu terus berada dalam barisan kepimpinan tertinggi persatuan atau lepas jawatan terbabit seterusnya kekal menerajui kelab.

Itu pilihan yang diberikan kepada beberapa individu yang dilihat masih lagi memegang dua jawatan tertinggi dalam pengurusan FA dan FC ketika ini.

FAM yang ketika ini dalam usaha merealisasikan matlamat mahukan proses penswastaan lebih sempurna pada masa akan datang menetapkan 18 Disember lalu sebagai tarikh akhir kepada individu berkenaan memikirkan hala tuju masing-masing pada musim depan.

Stuart memaklumkan bahawa selepas tarikh berkenaan hanya individu menyandang jawatan exco FA sahaja boleh dilantik sebagai Ahli Lembaga FC.

Sumber-MH