Belum buat keputusan

ALOR SETAR: Siapakah pemilik jersi nombor 7 dalam kalangan pemain baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih lagi menjadi persoalan selepas ‘dilepaskan’ oleh Baddrol Bakhtiar yang tidak lagi bersama pasukan Hijau Kuning.

Malah, jersi nombor 7 itu dianggap ‘keramat’ kerana reputasi Baddrol selaku kapten Kedah yang banyak mencurahkan kejayaan buat skuad Hijau Kuning sejak memakainya bermula musim 2006 lagi.

Jika dilihat pada reputasi Baddrol, pemain yang bakal menyarungnya perlu memiliki ciri-ciri hebat dan mampu meyakinkan penyokong setia skuad Hijau Kuning.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak mengesahkan belum ada keputusan untuk memberikan jersi itu kepada mana-mana pemain.

“Kita belum membuat keputusan untuk mana-mana pemain yang akan mengenakan jersi nombor 7 dan pastinya ramai penyokong sedang menantikan siapakah pemain baharu yang akan memakainya musim ini.

“Saya juga dapati, tiada dalam kalangan pemain yang berani meminta jersi nombor 7 berkenaan untuk dipakai bermula musim baru setakat ini.

“Jadi, biarlah kami memulakan dahulu latihan bersama sebelum memutuskan siapakah pemain yang akan dipilih memakai jersi itu nanti,” katanya.

Jersi bernombor 7 itu adalah antara yang laris terjual di pekarangan Stadium Darul Aman sebelum ini.