Akan Ada Perancangan Istimewa Untuk Hadi Bagi 2021

KUALA LUMPUR: Peny3rang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan terus kekal bersama Kelab Divisyen 2 Jepun, Fagiano Okayama untuk tempoh setahun lagi.

Keputusan untuk menyambung kontrak Hadi Fayyadh bersama kelab itu dibuat selepas Fagiano Okayama melihat potensinya sebagai seorang peny3rang semakin meningkat.

Sepanjang dua tahun bersama Fagiano sejak 2018, Hadi memberikan dianggap komitmen terbaik sepanjang sesi latihan dan ketika perlawanan bersama kelab itu.

Perkara berkenaan dinyatakan pengurusan Fagiano Okayama kepada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada selaku individu yang membantu karier Hadi di sana.

“Pengurusan pasukan memaklumkan kepada saya mereka membuat keputusan untuk menyambung kontrak Hadi bagi tempoh satu tahun lagi selepas melihat peningkatan mutu permainan yang ditunjukkan oleh Hadi sepanjang tahun 2020,” kata Hamada.

“Mereka percaya dengan memberikan peluang untuk dia terus bersama kelab itu akan dapat meningkatkan kemahiran yang ada serta membantu kelab untuk terus memberikan aksi yang terbaik pada musim akan datang.

“Akan ada perancangan istimewa untuk Hadi bagi 2021, namun masih lagi dalam perbincangan. Saya akan memaklumkan perkara ini apabila mendapat kebenaran dari Fagiano nanti.”

Sementara itu, Hadi Fayadh menyifatkan lanjutan kontrak bersama Fagiano Okayama adalah peluang untuk dia terus menggilap bakat diri serta memperbaiki kelemahan yang ada untuk menjadi seorang pemain bola profesional yang lebih baik.

“Saya bersyukur dan gembira dengan berita ini. Terima kasih kepada pengurusan kelab atas kepercayaan yang diberikan dan terima kasih juga kepada pihak Yakult Malaysia yang sentiasa membantu sepanjang dua tahun saya di sini.

“Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk meningkatkan potensi diri serta memperbaiki kelemahan yang ada. Insya-Allah, 2021 akan menjadi tahun yang terbaik untuk saya,” katanya.

Sumber-BH