Akui hampir tinggalkan Juventus

Paulo Dybala mengakui hampir meninggalkan Juventus sebelum musim 2019-2020 bermula dan peny3rang itu menjelaskan masa depannya terletak di tangan juara Serie A itu.

Dybala telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Tottenham tetapi mengambil keputusan untuk kekal di Turin.

Pemain kebangsaan Argentina itu menyerlah musim ini dengan menjaringkan 11 gol dalam 26 perlawanan tetapi mengakui hampir meninggalkan Juventus.

“Saya hampir berhijrah. Itulah yang telah disangka oleh kelab. Saya menyedari pada minit terakhir, kami masih lagi menunggu,” kata Dybala kepada The Guardian.

“Kontrak saya masih lagi berbaki dua tahun. Buat masa ini, kami akan melihat perancangan yang dimiliki Juventus. Mereka akan membuat keputusan sama ada saya perlu berhijrah atau kekal di Turin.

“Tetapi saya masih lagi di sini. Kelab melayani saya dengan baik. Saya sangat gembira dan selesa. Kehadiran Maurizio Sarri banyak membantu. Beliau mahukan saya terus bersama pasukan. Sarri memberikan kekuatan kepada saya.”

Dybala telah bersama Juve sejak 2015 selepas tiga musim beraksi di Itali untuk Palermo.

Presiden Palermo, Maurizio Zamparini, melabel Dybala sebagai Sergio Aguero yang baru tetapi pemain berusia 26 tahun itu tidak berminat dengan perbandingan tersebut.

“Saya sentiasa berkata tidak mahu menjadi pengganti sesiapa. Saya mahu orang melihat jaringan saya, gerakan saya ‘seperti Dybala’, bukan orang lain,” katanya.

“(Lionel) Messi, (Omar) Sivori dan Aguero telah memenangi banyak gelaran. Saya juga mahukan perkara yang sama.”

Sumber : SA