Ayie Floor 88 Ambil Langkah Jaminan Masa Depan

PADA usia semuda 23 tahun, vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham berani membuka perniagaan makanan apabila membuka kafe, Ayie Elham Cafe yang beroperasi Julai lalu.

Ayie berkata, langkah itu diambil untuk jaminan masa depan selain menjadi impiannya sedari kecil lagi.

“Mulanya saya buat perniagaan secara dalam talian selama setahun menerusi jualan menu ‘signature’ seperti Choco Jar, Kek Batik, Cheesekut, Mango Milo Float Bubble atau lebih dikenali dengan nama Ayie Elham Dessert.

“Apabila ada modal dan beroleh pendapatan lebih, saya terfikir untuk laburkan dengan buka kedai makan sebagai persediaan masa depan saya dan keluarga.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jualan semakin bertambah. Dari situ, kami beroleh pendapatan yang lebih dan akhirnya keputusan ini buat,” katanya ditemui pada pelancaran cafenya di Platinum Walk, Setapak hari ini.

Penyanyi lagu Hutang ini berkongsi membuka kafe dengan seorang rakan wanita bernama Nur Natasha tetapi belum bersedia mengulas lanjut berkenaan hubungan mereka.

“Apa yang dilakukan lebih sebagai langkah persediaan masa depan termasuk untuk berkahwin.

“Wang yang dikeluarkan berjumlah hampir RM90,000 hasil daripada simpanan saya, pendapatan perniagaan serta simpanan keluarga.

“Ia satu keputusan berani yang saya buat. Tapi sebelum buka cafe, saya buat tinjaun dan mendapat tempat ini strategik dan menjadi tumpuan kaki makan,” katanya.

Ayie tidak menafikan perlu berdepan ris!ko sekiranya perniagaan itu gagal mendapat sambutan pelanggan.

“Saya dah buat perancangan awal apa akan jadi kerana perniagaan ada pasang surut sama juga seperti bidang nyanyian. Saya dah bersedia daripada segi mental dan fizikal. Kami dah ada ‘back up’ sekiranya berlaku apa-apa terhadap kafe.

“Saya akan sentiasa berada di kedai. Malah saya akan belajar banyak perkara kerana selalunya orang kata pemilik hanya akan goyang kaki dan jual nama. Tapi saya bukan begitu.

“Saya nak turunkan eg0 untuk kebaikan orang lain dan diri kita sendiri. Contohnya, apabila pelanggan komen makanan tak sedap, saya sendiri uruskan hal ini dengan minta maaf,” katanya.

Sumber-MH