Bayangkan Jika Sehaluan, Ini Bukan Politik Tapi Realiti

KOTA KINABALU: Perdana Menteri kecewa dengan kerajaan Sabah kerana tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pimpinannya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah lebih baik jika kerajaan negeri dapat bekerja sebagai satu pasukan dengan kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, persefahaman antara negeri dan Persekutuan dapat memberi kesan besar dalam pelbagai aspek dan mahu mesej itu sampai kepada rakyat.

“Pelbagai peruntukan disalurkan kepada Sabah, malah dalam bidang sosioekonomi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) sahaja sejumlah RM22 bilion diperuntukkan.

“Begitu juga dalam bidang industri, pendidikan, pelancongan dan pertanian, sekali gus membuktikan Sabah tidak diabaikan.

“Cuma kita kecewa sikit kerajaan negeri Sabah tak sebaris dan sehaluan dengan saya. Bayangkan jika Sabah sehaluan, ini bukan politik tetapi realiti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

“Dia (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kawan baik saya sudah begitu lama. Dia tadbir negeri, saya di Pusat. Dulu sama-sama satu landasan, pernah jadi menteri,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Noor.

Muhyiddin berkata, rakyat Sabah akan menikmati lebih banyak manfaat sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bekerja sebagai satu pasukan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap rakyat memahami situasi berkenaan dan mahu mesej yang ingin disampaikannya diterima oleh rakyat negeri ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri menjelaskan pendirian untuk tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mahu mengekalkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) negeri untuk terus mentadbir negeri itu.

Akhir Julai lalu, Mohd Shafie memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sebahagian wakil rakyatnya beralih arah menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan membentuk kerajaan baharu mesra PN.

Sumber-BH