Categories
SUKAN

Biar saya buat keputusan – Hector

JOHOR BAHRU: Antara Farizal Marlias dan Haziq Nadzli siapa bakal mengemudi gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pasukan itu berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super, malam esok?

Pengendali JDT, Hector Bidoglio tentunya akan membuat keputusan bijak apabila berdepan skuad Nidzam Jamil yang turut mengintai peluang memburu kemenangan selepas gagal menyerlah pada dua aksi lalu selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dan kalah 0-1 kepada PJ City FC.

Apapun, pengendali kelahiran Argentina itu percaya antara Farizal dan Haziq, kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting bagi memastikan kedudukan JDT berada sekarang. Malah dia optimis jika Farizal atau Haziq diturunkan, mereka mampu beri persembahan terbaik bagi memastikan JDT meneruskan rentak kemenangan.

“Farizal sudah mengatasi `mimpi ngeri’ tewas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds, baru-baru ini. Dia tampak begitu bersemangat menjalani latihan bagi menghadapi Selangor FC dan juga menyiapkan diri untuk final Piala FA.

“Haziq pula perlu diberi peluang bagi memastikan dia sentiasa berada di tahap memuaskan apabila mengambil alih tugas selaku penjaga gol kerana saya lihat kedua-dua pemain itu penting buat JDT dan masing-masing ada kelebihan tersendiri.

“Apapun, untuk aksi menentang Selangor FC nanti, biar saya buat keputusan akhir dan optimis siapa sahaja yang terpilih bakal beri persembahan terbaik bagi memastikan momentum kemenangan JDT tidak terjejas dan cuba mempertahankan rekod tanpa kalah,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan menentang skuad The Red Giants, Bidoglio tidak menafikan pasukan itu bakal beri ancaman buat JDT tatkala mereka berkelebihan beraksi di laman sendiri.

Beliau menegaskan kemenangan 5-1 pada aksi lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

Katanya, ketika itu Selangor FC dibimbing oleh Michael Feichtenbeiner dan kini di bawah kendalian pengendali baharu dan mungkin taktik permainan akan berbeza namun barisan pemain akan bersedia menghadapi apa jua cabaran daripada pasukan lawan.

“Kita akan berdepan dua perlawanan getir dalam tempoh singkat. Bermula dengan aksi menentang Selangor FC, malam esok dan kemudian perlu segera membuat persiapan menentang TFC pada aksi final Piala FA, Sabtu depan.

Sumber : BH

“Justeru, saya akan lakukan pengiliran pemain bagi menghadapi Selangor FC tapi mereka yang diturunkan nanti tetap barisan terkuat kerana kami mahu kekalkan momentun kemenangan dah juga harus waspada ancaman pasukan lawan,” kata Bidoglio