Bintang muda Singapura juara dunia

Bintang meningkat Singapura, Loh Kean Yew mengakhiri kisah dongeng diciptanya di Kejohanan Badminton Dunia dengan noktah kejayaan apabila muncul juara dalam acara perseorangan lelaki, sebentar tadi.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mencipta sejarah dengan menjadi pemain Singapura pertama memenangi pingat emas selepas menundukkan K Srikanth dari India 21-15, 22-20 dalam aksi final kejohanan yang berlangsung di Huelva, Sepanyol.

Sebagai rekod, belum pernah mana-mana pemain negara berkenaan memenangi pingat atau muncul juara dalam kejohanan berprestij itu sebelum ini sejak diperkenalkan pada 1977.

Kean Yew, 24, yang berada di kedudukan ranking ke-22 dunia menunjukkan petanda awal betapa dia adalah pencabar bagi kejuaraan tahun ini selepas menyingkirkan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan pertama.

Dia yang menumbangkan juara dunia lima kali, Lin Dan ketika menjuarai saingan Masters Thailand 2019 kemudiannya menewaskan pemain Austria, Luka Wraber di pusingan kedua sebelum menundukkan Kantaphon Wangcharoen dari Thailand untuk menempah tiket ke suku akhir.

Pemain India, HS Prannoy menjadi mangsa Kean Yew di suku akhir sebelum dia mengatasi pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen di separuh akhir sekali gus menempah slot ke pentas final.

Pencapaian pemain yang dilamar Singapura ketika berusia 12 tahun itu menyaksikan negara berkenaan kini mengatasi Malaysia yang masih ketandusan juara dunia.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita Jepun, Akane Yamaguchi meraih gelaran dunia pertamanya selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying 21-14, 21-11.

Dalam saingan beregu lelaki, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menjadi beregu pertama Jepun muncul juara dunia selepas menewaskan pasangan China, He Ji Ting-Tan Qiang 21-12, 21-18.

Saingan beregu wanita pula menyaksikan Chen Qing Chen-Ji Yifan merekodkan gelaran kedua mereka selepas mengatasi Lee Sohee-Shin Seungchan dari Korea Selatan 21-16, 21-17 dalam aksi final.

Sebelum ini, pasangan nombor tiga dunia itu turut muncul juara dunia pada edisi 2017 di Glasgow, Scotland.

Pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai menepati ramalan apabila menungguli saingan beregu campuran menerusi kemenangan ke atas pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-13, 21-14.