Harimau Malaya dijangka terus “lena”

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya dijangka boleh terus diulit ‘lena’ daripada mengharungi aksi antarabangsa meskipun dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 24 Januari sehingga 1 Februari ini.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu, Scott O’Donell mengesahkan tiada perlawanan persahabatan akan diatur pada jendela antarabangsa yang pertama bagi tahun 2022.

Bekas Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) yang baharu sahaja melapor diri kepada badan induk berkenaan menjelaskan agak sukar untuk mengatur perlawanan persahabatan apatah lagi berdepan kekangan masa ketika ini.

Malah, tarikh terbabit juga bertembung dengan persiapan pasukan yang sedang giat dijalankan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim baharu.

“Untuk Januari, tiada (perlawanan persahabatan). Kita perlu melihat perkara yang menjadi kepentingan dan merujuk kepada kalendar FIFA, kita tidak perlu tergesa gesa untuk mengendalikan perkara itu.

“Pasukan juga sedang menjalani persiapan untuk musim baharu, jadi kita tidak mahu menganggu persiapan pramusim yang sedang dilakukan mereka,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Dengan perkembangan ini, skuad kebangsaan bakal terlepas peluang untuk mendapatkan mata bagi memperbaiki ranking dengan Malaysia ketika ini menghuni tangga ke-154 dunia.

Selepas Januari, kalendar FIFA akan bersambung pada hujung Mac, disusuli hujung Mei hingga awal Jun, pertengahan September sebelum Piala Dunia 2022 berlangsung pada November dan Disember.