Categories
SUKAN

KDA FC kerah keringat atasi Penang FC

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC mengekalkan statusnya sebagai jaguh Utara apabila menewaskan Penang FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini, sebentar tadi.

Gol kemenangan skuad Kenari diperoleh menerusi Ronald Ngah yang mengecewakan penjaga gawang pelawat, Hafizul Hakim pada minit ke-56 selepas mendapat hantaran daripada Al-Hafiz Harun.

Kejayaan ini adalah kali kedua dalam aksi `tetangga Utara’ musim ini selepas turut mengutip mata penuh di Stadium Bandaraya pada 17 April lalu.

Pada aksi malam tadi, Kedah cuba mendominasikan saingan di tempat sendiri, namun pelawat melalui Endrick Dos Santos dan Lucas Da Silva turut pamer taring pada minit ke-4 dan 24, namun kedua-dua percubaan itu tersasar.

Tanpa sebarang percubaan tepat, Kedah akhirnya mendapat peluang terbaik melalui rembatan kencang Ngah pada minit ke-25 namun ia berjaya ditepis Hafizul Hakim.

Sang Kenari sekali lagi hampa apabila gagal menyempurnakan peluang di depan gawang lawan melalui sentuhan Al Hafiz pada minit ke-31.

Malang buat penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal apabila terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kaki selepas bertembung dengan pemain Penang pada minit ke-33 dan tempatnya diambil Shahril Saari.

Kedudukan kekal tanpa sebarang gol pada babak pertama.

Sumber : BH

Bermula babak kedua, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak berjaya memecah kebuntuan melalui gerakan pantas Ngah pada minit ke-56 selepas mendapat hantaran daripada Al-Hafiz untuk gol pertama tuan rumah.

Kedah hampir mendapatkan dua gol tambahan dalam tempoh lima minit terakhir babak kedua melalui percubaan Dechi Marcel dan Ngah, namun kedua-dua percubaan itu tersasar dari gawang.

Kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Kedah kembali mengaum.