KDA miliki pemain kegemaran TFC

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan bekas pemain Terengganu FC (TFC), Dechi Marcel sebagai pemain import kedua pasukan itu bagi menghadapi aksi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Kehadiran pemain kelahiran Ivory Coast berusia 30 tahun yang digelar ‘Kante’ itu dijangka dapat mengemudi jentera tengah Hijau Kuning.

Marcel adalah pemain lincah dengan kawalan bola yang baik dan pernah beraksi bersama UiTM FC dan TFC II sebelum diserapkan ke skuad TFC musim ini.

Berita kemasukan Marcel dikongsi kelab berkenaan sebentar tadi selepas membuat naik klip video pengenalan yang membayangkan penyertaan Marcel bersama Kedah beberapa jam sebelum itu.

“Seterusnya, ‘import’ baharu kini sudah hadir, selamat datang ke keluarga Hijau Kuning.

“Dechi Marcel N’Guessan, berjuanglah sejiwa murni, tekun berani sesungguh hati,” menurut kenyataan kelab itu.

Terdahulu, skuad Hijau Kuning meng!kat pemain dari Korea Selatan, Jang Suk Won sebagai pemain import pertamanya.

Sumber – BH