Malaysia perlukan usahawan muda

Kuala Lumpur: Prospek industri makanan dan pertanian akan menjadi lebih penting dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang apabila Malaysia beralih kepada ekonomi yang didominasi oleh perkhidmatan, sekali gus menjadikan penyertaan golongan belia dalam sektor ini dengan sentuhan teknologi moden lebih ketara berbanding sebelum ini.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Dr Sarena Che Omar berkata, di negara maju apabila sektor perkhidmatan menguasai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pertanian dan makanan terus berkembang dan berinovasi sejajar dengan pertumbuhan permintaan pengguna.

“Di negara berpendapatan tinggi, keselamatan makanan, hak buruh di ladang dan kaedah pertanian yang mampan penting apabila membeli makanan. Ini kurang berlaku di negara miskin apabila tumpuan tertumpu kepada kemampuan dan kuantiti makanan, berbanding kualiti.

“Oleh itu, apabila Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi, ia akan menjadi lebih penting makanan tempatan dihasilkan secara mampan mengikut keperluan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), selamat untuk dimakan dan mematuhi situasi buruh yang adil apabila petani dan pekerja dibayar dengan saksama dan terdapat kebolehkesanan makanan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ini sasaran Malaysia serta sektor pertanian dan makanan perlu diselaraskan untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah ini.

Pada September lalu, kerajaan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025 dengan kualiti hidup yang lebih baik dan teknologi tinggi berikutan pelaksanaan pembaharuan.