Meter Pintar, Bantu Berhemah Guna Elektrik

MELAKA – Pemasangan meter pintar bagi mengukur penggunaan elektrik dapat memberikan banyak manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Kakitangan kerajaan, Rahim Selamat, 59, berkata, beliau dapat menggunakan tenaga elektrik dengan lebih berhemah bagi menggelakkan pembaziran sejak bertukar kepada peranti elektronik.

Menurutnya, apa yang lebih penting, beliau dapat mengetahui jumlah penggunaan semasa termasuk penggunaan harian supaya dapat memantau caj elektrik yang digunakan.

“Banyak cara boleh membantu kita menjimatkan elektrik termasuk tidak menggunakan pendingin hawa dalam tempoh panjang dan menutup suis yang tidak digunakan,” katanya ketika ditemui di Mata Kuching, Melaka Tengah, baru-baru ini.

Rahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Tehel berkata, beliau tidak menafikan caj elektrik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kerana ahli keluarganya lebih banyak berada dalam rumah dan penggunaan elektrik bertambah berbanding hari biasa.

“Begitu juga seperti bulan lalu, penggunaan elektrik juga sedikit meningkat disebabkan ahli keluarga banyak menggunakan ketuhar untuk membuat kuih raya, jadi kita dapat tahu apa yang menyebabkan caj elektrik naik,” katanya.

Sementara itu, Omar Asad, 59, berkata, meter pintar dapat memberikan maklumat mengenai profil penggunaan elektrik dan membolehkan pengguna merancang penggunaan mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, secara tidak langsung meter pintar yang merekodkan penggunaan tenaga elektrik dapat mendidik pengguna menggunakan elektrik dengan bijak.

“Sebenarnya kita membayar apa yang telah kita gunakan dan bacaan direkodkan dengan lebih tepat.

“Malah kita dapat memantau penggunaan sama ada kita dalam rumah atau ketika berada di luar daerah,” katanya.

Beliau berkata, pengguna yang belum menukar kepada alat peranti itu tidak perlu berasa gvsar atau b!mbang dengan spekvlasi kenaikan c4j elektrik.

“Apa sahaja bergantung kepada penggunaan kita. Jika kita guna banyak, maka banyaklah yang perlu dibayar,” katanya.

Bacaan lebih tepat berbanding meter lama

Pesara kerajaan, Norizzah Md Nor, 64, berpandangan, pengguna wajar membayar jumlah tenaga elektrik yang telah digunakan dan tidak seharusnya mempert!kaikannya.

Menurutnya, beliau tidak berdepan sebarang masalah sejak menggunakan meter pintar, malah ia lebih mudah dan banyak manfaat serta kebaikan yang diperolehnya.

“Meter pintar menggalakkan penjimatan tenaga yang mampu mengurangkan bil elektrik dan saya dapat mengakses maklumat mengikut masa sebenar penggunaan elektrik,” katanya.

V Varatharaju, 57, yang tinggal di Melaka Baru pula berkata, beliau yang bertukar kepada meter pintar sejak Januari 2019 mengakui bacaan meter pintar lebih tepat berbanding meter lama.

Beliau yang tidak menggunakan pendingin hawa dapat mengawal penggunaan elektrik keluarganya dan caj bulanan lebih rendah selain sering membuat pembersihan barangan elektrik.

“Bagi saya kita kena bijak menggunakan elektrik dan rajin servis alat-alat elektronik seperti kipas dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, guru piano, Ho Teck Chai, 34, berkata, sebelum tempoh PKP, beliau dan isterinya jarang berada di rumah kerana bekerja dan hanya pulang pada waktu malam.

Menurutnya, sebelum ini, c4j elektrik bulanan rumahnya di Taman Jati di bawah RM180 namun penggunaan sepanjang PKP meningkat sehingga bil menjadi RM230 disebabkan mereka berada di rumah, lebih-lebih lagi isterinya suka membuat kek sepanjang tempoh tersebut.

“Saya suka menggunakan meter pintar sebab dapat melihat sendiri pengaliran elektrik berapa yang kita gunakan dengan hanya memuat naik aplikasi di telefon bimbit.

“Saya puas hati kerana dapat merekodkan lebih dari satu akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan saya turut dapat lihat penggunaan elektrik semasa di kedai,” katanya.

Sumber-SH