Nasihat Bekas Pemain Kebangsaan Kepada Luqman Hakim

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mengingatkan Luqman Hakim Shamsudin supaya tidak tersalah membuat pilihan dalam membina tapak untuk mengembangkan kerjayanya di benua Eropah.

Menganggap kelab Belgium, KV Kortrijk sebagai pilihan sesuai buat Luqman, Jamal berkata peny3rang muda itu tidak perlu mengejar benda yang tidak pasti selepas did4kwa mendapat tawaran dari Bayer Leverkusen dan Newcastle United.

“Suruh dia pergi mana yang pasti, tak pasti tak payah. Walaupun kelab itu kecil, tapi yang penting pilih tempat di mana dia nak bertapak dahulu untuk melangkah lebih jauh.

“Jangan kejar kelab yang ternama, itu baru gambaran saja. Jangan kejar benda yang tak pasti, ambil yang pasti dulu. Takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Walaupun (kalau betul) ada tawaran, fikir tiga, empat kali… sebab itu kelab yang besar. Kelab besar ini kalau duduk di barisan tepi (simpanan) saja buat apa.

“Dapatkan tapak, sesuaikan diri di Eropah dulu dan selepas itu baru lihat ke depan dan cari peluang yang lebih baik,” kata Jamal kepada BH Sukan, semalam.

Sebelum ini, Luqman dilaporkan menandatangani kontrak lima tahun bersama bersama Kortrijk, namun kontrak itu bakal dimeterai selepas dia berusia 18 tahun, iaitu pada Mac lalu.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu turut dilaporkan menjadi perhatian dua kelab Eropah, Newcastle dan Bayer Leverkusen, sekali gus mencetuskan persoalan ke manakah hala tujunya.

Namun, belum ada kepastian sama ada Newcastle atau Bayer Leverkusen sudah membuat tawaran rasmi atau nama Luqman ketika ini hanya di peringkat cadangan di dua kelab itu.

Luqman sebelum ini mengesahkan sudah mendapat panggilan daripada Kortrijk untuk menyertai latihan, minggu ini.

Sumber-BH