Perkara Positif Untuk Masa Depan Kelantan

KUALA LUMPUR: Kelab Bolas3pak Kelantan (Kelantan FC) sudah melunaskan tunggakan gaji bekas pemain The Red Warriors (TRW), Cassio Francisco de Jesus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM612,632.50.

Berdasarkan surat yang disiarkan kelab itu pada akaun rasmi Facebook mereka, tunggakan itu dilunaskan menerusi empat kali pembayaran.

Pembayaran pertama pada 9 September lalu membabitkan pembayaran sebanyak RM105,000 manakala kedua pada 13 September (RM189,000) dan terakhir pada 15 serta 17 Disember lalu membabitkan RM30,487.59 dan RM288,145.

“TRW Kelantan FC berjaya menyelesaikan banyak hutang tertunggak dalam tiga bulan terakhir ini dan kami sedang menyelesaikan hutang-hutang pemain yang membuat laporan kepada FIFA.

“Salah satunya adalah Cassio Fransisco yang jumlah hutang tertunggak keseluruhan adalah AS$155,794.51 (RM679,263.20).

“TRW ingin mengumumkan bahawa kami memperoleh tawaran dari Cassio dan beliau telah bersetuju untuk menerima pembayaran penuh dan terakhir sebanyak AS$149,500,” kata kelab itu dalam kenyataan beserta surat berkenaan menerusi akaun Facebook rasmi mereka, hari ini.

Sementara itu, peguam kepada Cassio, Zhafri Aminurrashid ketika dihubungi BH Sukan mengesahkan pihaknya sudah menerima jumlah keseluruhan pembayaran tunggakan gaji pemain itu.

“Sudah selesai, sudah bayar semua… kita menghargai tindakan daripada Norizam Tukiman (pemilik Kelantan FC) yang menepati janji seperti mana yang dipersetujui kedua-dua pihak untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya percaya dengan komitmen yang diberikan Norizam ini adalah satu perkara positif untuk masa depan Kelantan dan kita doakan pasukan itu berjaya,” katanya.

Sumber-BH