Perkhabaran Gembira Diumumkan Presiden MFL

PUTRAJAYA: Liga Bolas3pak Malaysia (MFL) boleh menarik sedikit nafas lega selepas syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia bakal kembali menaja Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Perkhabaran gembira itu diumumkan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas mesyuarat rakan kongsi liga ke-4, di sini, hari ini.

Katanya, ia adalah hasil pertemuannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, sebelum ini.

“Saya sudah jumpa dengan Tan Sri Tony Fernandes dan selepas berbincang beliau mengesahkan akan menyambung kembali penajaan. Mungkin akan ada satu dua penambahan daripada Air Asia.

“Ini perkara yang baik dan kita juga tunggu CIMB, kalau kita dapat bank lain… apa salahnya. Kami semua sedang usahakan, mungkin Januari atau Februari akan dapat (umumkan).

“Dalam keadaan COV!D-19 ini bukan senang kerana ia memberi kesan kepada semua pihak. Jadi kita kena prihatin dengan situasi mereka dan tidak boleh menuntut sesuatu yang terlalu tinggi sebaliknya memberi ruang apa yang mampu diberikan oleh mereka,” katanya.

Pada bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan CIMB dan AirAsia menarik diri daripada menjadi penaja utama Liga M musim depan.

Mengulas lanjut, Hamidin menjelaskan pihaknya sedang berusaha keras berunding dengan beberapa pihak lagi berkaitan penajaan dan usaha itu sudah bermula sejak awal tahun ini.

“Sebenarnya kita sudah berurusan dengan banyak pihak dan sampai masa kita akan umum. Buat masa ini TM (Telekom Malaysia) bersama kita.

“Contohnya, ada salah satu penaja yang mahu melihat penyokong masuk stadium baru mereka bersetuju menaja untuk salah satu trofi… Liga Super, Liga Perdana, Piala FA atau Piala Malaysia.

“Selain nak kemeriahan, kemasukan penyokong walaupun dalam skala kecil ia juga mampu menarik penaja,” katanya.

Sumber-BH