Polis Buka Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa melanggar arahan kuarantin wajib COVID-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan dimulakan pada 5 Oktober lalu, terhadap satu kenyataan membabitkan isu berkenaan yang tular menerusi media sosial.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan keterangan saksi dan dokumen berkaitan mengikut Seksyen 15 serta Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ia bagi kesalahan tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah dikeluarkan oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, BH memetik Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya masih meneliti kes membabitkan Amirudin, termasuk permohonan maaf dibuat Menteri Besar itu di media sosial sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Amirudin dalam mesej Twitter pada 4 Oktober, memohon maaf kerana terpaksa keluar dari kuarantin pada malam berkenaan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

Bagaimanapun, kata Menteri Besar dalam hantaran yang sama, beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelindung dan pelitup muka, manakala kedua-dua ujian saringan yang dijalaninya menunjukkan keputusan negatif.

Amirudin turut memaklumkan, beliau melawat LRA Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari berkenaan.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/745055/polis-siasat-mb-selangor-dakwaan-langgar-kuarantin