RUU-Covid 19 Bakal Dikuatkuasa September Ini

RANG Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan impak penularan Covid-19 dijangka dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya September depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini proses penggubalan RUU itu sudah berada di peringkat akhir dan akan dibawa ke Kabinet Julai ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada bulan sama.

“Kita sudah mendapat maklum balas daripada hampir semua kementerian dan sekarang dalam peringkat terakhir untuk dibawa ke kabinet sebelum dibentangkan peringkat Parlimen.

“Lebih 10 akta dikenal pasti akan dipindah di bawah RUU itu termasuk Akta Insolvensi, akta berkaitan pemaju perumahan akan dibawa ke kabinet dan bentang di Parlimen pada Julai ini dan Ogos atau September dijangka boleh kuatkuasa (RUU Covid-19) secepat itu,” katanya selepas sesi lawatan kerja ke Mahkamah Majistret Setiu, hari ini.

Katanya, penguatkuasaan RUU itu diharap dapat meminimumkan impak penularan Covid-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat dan industri.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RUU itu adalah pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

Sumber-MH