Santai suasana nyaman di Jeram Tebrau

CUACA panas sejak kebelakangan ini menyebabkan haluan peminat basikal mula mencari lokasi riadah yang baharu di kawasan sejuk dan menyegarkan.

Antara lokasi jadi pilihan destinasi adalah ke Jeram Tebrau, Labu, Nilai, Negeri Sembilan, iaitu sebuah kawasan rekreasi yang memiliki keindahan alam semula jadi.

Bagi sekumpulan penunggang basikal disertai 21 orang dari Bandar Springhill, Port Dickson meneruskan kayuhan dari Port Dickson hingga Jeram Tebrau, sejauh 64 Kilometer pergi dan balik.

Kumpulan basikal itu memulakan perjalanan seawal jam 7.30 pagi selepas mendapat tahu lokasi yang dulunya tumpuan ramai kini sepi tanpa dijaga.

Ketua Kumpulan Kayuhan Amal Bandar Springhill, Ayub Md Dahan, 41, berkata Negeri Sembilan ada banyak lokasi menarik seperti Jeram Tebrau ini tetapi ia tanpa penjagaan.

“Kayuhan kami sampai ke destinasi amat mengujakan kerana kami menuju ke lokasi yang sudah lama ditinggalkan atau tidak lagi dikunjungi orang ramai.

“Apa yang kami lihat, dulu lokasi ini meriah, ada air terjun, tapak kolam tadahan, tempat berbumbung dan juga bekas tapak gerai disediakan untuk peniaga.

“Dulu saya pernah beberapa kali ke sini membawa murid beriadah kerana sekolah tempat saya mengajar tidak jauh dari lokasi jeram ini tetapi agak lama tidak ke sini selepas bertukar sekolah sejak tujuh tahun lalu,” kata guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam, Port Dickson ini ketika ditemui di sini baru-baru ini.