Categories
SUKAN

Saya tidak ada tekanan

Kuala Terengganu: Walaupun bahang pentas final Piala FA kian dirasai, pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut anak buahnya fokus kepada aksi Liga Super menentang Melaka United FC (MUFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Bekas penyerang Terengganu itu berkata, kemenangan begitu penting buat pemainnya sebagai motivasi sebelum membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September ini.

Pada masa sama, jurulatih berusia 44 tahun itu turut menuntut sokongan padu peminat setia skuad Penyu agar dapat membanjiri stadium bagi menyuntik semangat pemain di laman sendiri.

“Selepas dua kemenangan berturut-turut di tempat lawan menentang Sri Pahang FC dan Selangor FC, ia bakal menambah lagi semangat pemain menentang MUFC.

“Namun saya gesa pemain agar fokus pertemuan dengan MUFC terlebih dahulu untuk mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di tempat sendiri sebelum final Piala FA minggu depan.

“Kemenangan begitu penting buat kami bukan sahaja sebagai motivasi sebelum final, tapi kami menyasarkan sekurang-kurangnya mahu mengakhiri liga di tempat ketiga musim ini,” katanya.

Mengulas perbezaan enam mata dengan pasukan di tangga ketiga liga, Negeri Sembilan FC (NSFC) berbanding TFC yang kini menghuni di tempat keempat dengan 26 mata, Nafuzi mengakui perbezaan itu tidak begitu jauh.

“Bagi saya tidak ada tekanan untuk memburu sekurang-kurangnya tempat ketiga liga musim ini dan perbezaan enam mata dengan NSFC tidak begitu jauh,.

“Kami masih berpeluang, tetapi kami tidak boleh keciciran mata lagi, sebaliknya wajib menang dalam baki enam perlawanan,” katanya.