Selangor batal hasrat

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengumumkan mereka telah membatalkan hasrat untuk menyertai kejohanan jemputan Meizhou Hakka Cup yang bermula pada hari ini hingga 29 Januari 2020 di Meizhou, China.

Tindakan itu dibuat berikutan penularan wabak Virus Corona di China yang telah membunuh beberapa orang setakat ini.

“Selepas meneliti pelbagai aspek dan mengambil kira nasihat daripada pelbagai sumber, pengurusan FA Selangor membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan pramusim di China yang dijadualkan berlangsung pada 24-28 Januari 2019 ini.

“Wabak coronavirus adalah punca utama keputusan ini diambil bagi mengutamakan keselamatan para pemain dan pegawai pasukan serta mengelakkan daripada virus tersebut tersebar kepada keluarga serta seluruh rakyat di Malaysia.

“FA Selangor memohon maaf kepada penganjur kejohanan ini iaitu Meizhou Hakka FC, dan akan berusaha dengan sedaya upaya kami untuk menyelesaikan perkara ini dengan sebaik mungkin,” kata kenyataan rasmi daripada FAS.

Wabak yang turut dikenali sebagai 2019-nCoV ini telah mula masuk ke negara-negara asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan. Namun Selasa lalu, Amerika Syarikat mencatatkan kes pertama wabak ini.

Selain Selangor, dua lagi pasukan iaitu kelab divisyen 1 Thailand, Chonburi FC dan kelab divisyen 1 Korea Selatan, Sangju Sangmu turut dijemput untuk menyertai kejohanan tersebut bersama tuan rumah, Meizhou Hakka FC.

Meizhou Hakka FC merupakan kelab daripada divisyen 2 liga China dan pasukan itu menduduki di tangga ke 10 dengan 39 mata pada musim 2019.