SPRM tiada hak masuk rumah Rosmah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ada hak untuk memeriksa dan menggeledah rumah Datin Seri Rosmah Mansor bagi menyiasat kes rasuah dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata, pemeriksaan ke atas rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dibuat berdasarkan laporan ke atas bekas Pengarah Urusan JEPAK Holdings Bhd Saidi Abang Samsudin.

Akberdin yang menyoal saksi pendakwaan ke-23, Pegawai Penyiasat SPRM, Noornabilah Mohd Aziman pada sesi pemeriksaan balas, berkata notis akuan terima juga menunjukkan ia diterima dan ditandatangani oleh orang lain dan bukannya Rosmah.

Sehubungan itu, Akberdin mencadangkan kepada saksi bahawa laporan yang digunakan untuk memeriksa dan menggeledah rumah Rosmah adalah cacat kerana ia tidak menyatakan isteri bekas perdana menteri itu sebagai suspek.

Menjawab persoalan itu, Noornabilah bersetuju dengan Akberdin bahawa individu yang dinamakan dalam notis akuan terima itu bukan pemilik kepada rumah yang digeledah.

Apabila dicadangkan oleh Akberdin bahawa SPRM tidak boleh memeriksa dan menggeledah ke atas kediaman itu kerana individu yang menerima surat akuan terima bukan suspek, saksi itu mulanya mengakui individu yang menerima notis bukan suspek dalam siasatan.

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa SPRM tidak mempunyai mandat untuk masuk ke dalam rumah terbabit.

Sementara itu, Akberdin turut mencadangkan kepada saksi bahawa Rosmah adalah mangsa kepada pendakwaan terpilih dan niat jahat pendakwaan kerana hanya beliau didakwa di mahkamah, sedangkan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kes rasuah itu tidak dituduh.

Menurut peguam itu, Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Aazmey Abu Talib yang dikatakan akan dibayar RM50 juta oleh Jepak Holdings bagi kerja rundingan berkaitan projek solar hibrid tidak pernah didakwa, sehingga hari ini.

Perjanjian itu bagi Aazmey mendapatkan 11 Minit daripada Perdana Menteri supaya Jepak memperoleh projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak.

Ditanya sama ada saksi itu mengetahui bahawa Aazmey akan didakwa di mahkamah seperti dikeluarkan media pada hujung November 2018, Noornabilah menjawab, “tidak tahu”.

Peguam itu juga nembangkitkan mengenai tindakan menarik balik pendakwaan terhadap bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang dibicarakan bersama dengannya.

Rizal yang didakwa meminta dan menerima rasuah bagi dirinya dan Rosmah kemudian memberikan keterangan terhadap Rosmah sebagai saksi pendakwaan.

Menjawab soalan peguam itu, Noornabilah berkata, itu di luar bidang pengetahuan dan bidang tugasnya.

Saksi itu bagaimanapun bersetuju dengan Akberdin bahawa SPRM tidak nampak sasaran lain selain daripada Rosmah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/10/739223/sprm-tiada-hak-masuk-rumah-rosmah-peguam