Categories
TERKINI

Status Cools akhirnya terjawab

Ketika ramai penyokong mengimpikan Dion Cools akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), namun pemain Harimau Malaya itu terus kekal di Eropah apabila memeterai kontrak bersama pasukan Liga Republik Czech, FK Jablonec.

Perkembangan itu diumumkan pasukan itu semalam selepas kelab baharu pemain kebangsaan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi panggilan ke kem latihan pusat sebagai persiapan ke Piala Raja Thailand 2022, minggu depan.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai kelab yang beraksi dalam liga utama Republik Czech selepas kontraknya bersama FC Midtjylland tamat, minggu lalu.

Mengulas mengenai perpindahannya, Cools menjelaskan keputusan itu dibuat bagi mendapatkan minit permainan yang sudah pasti akan membantu untuk meningkatkan lagi mutu permainannya.

“Pasukan lama saya membuat keputusan untuk menukar sistem permainan yang berbeza di mana mereka tidak dapat memberi keyakinan untuk minit permainan kepada saya.

“Bagi saya, apa yang penting adalah saya dapat bermain dan sebab itulah saya bersetuju untuk menyertai FK Jablonec. Saya sudah bercakap dengan jurulatih dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua orang dalam pasukan ini.

“Saya menantikan semangat baharu dan saya percaya saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat di sini. Saya mahu membantu pasukan mencatat keputusan yang baik dengan persembahan saya,” katanya.

Selepas lapan perlawanan setakat ini, skuad bimbingan David Horejs itu menduduki tangga ke-13 daripada 16 pasukan.

Sumber : BH

Sebagai rekod, Cools pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti OH Leuven, Club Brugge serta Zulte Waregem.