Tarikh Pembukaan Kolam Renang

KUALA LUMPUR: Aktiviti riadah kolam renang akan dibenarkan beroperasi semula membabitkan kolam renang awam, di hotel, kondominium, komuniti berpagar atau kawasan terkawal serta persendirian bermula 1 Julai ini.

Kanak-kanak bagaimanapun tidak digalakkan untuk terbabit dalam aktiviti riadah kolam renang dan menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi mengambil pendekatan kawalan kendiri untuk menjaga keselamatan anak mereka.

Pihak pengurusan pula perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di laman web NOTIFICATION.MITI.GOV.MY dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata prasyarat di setiap lokasi kolam renang ialah mesti disediakan pengawal keselamatan (life guard) dan penyelia untuk memastikan keselamatan pengguna dan jumlah masa penggunaan yang terkawal.

“Mesti ada pengawal bukan sahaja untuk mengawal keselamatan pengguna tetapi memastikan supaya jumlah yang ada di kolam renang adalah berdasarkan saiz kolam renang, tak boleh berasak di dalam kolam renang.

“Dibenarkan jumlah yang sesuai dengan saiz kolam renang dan mungkin mereka perlu mengehadkan masa bagi setiap yang berada di kolam renang, ” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Putrajaya, di sini.

Sumber-BH