Terima Kasih Kelantan FC

KOTA BHARU: Kelantan FC tidak akan menyambung kontrak Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih pasukan dan tiga pembantunya iaitu Tengku Hazman Raja Hassan, Azli Mahmood serta Ismail Chawalit Abu Bakar.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata langkah drastik itu adalah rombakan yang dibuat terhadap barisan kejurulatihan skuad The Red Warriors (TRW) bagi memperkasakan pasukan itu mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

“Perubahan itu nampak drastik, namun Kelantan FC perlu berani jika mahu memburu slot ke Liga Super dan kejuaraan lain musim hadapan. Langkah ini sangat penting kerana saya mahu membentuk pasukan menggunakan acuan sendiri yang mempunyai mentaliti memburu kejuaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Skuad TRW di bawah kendalian Yusri berada pada kedudukan keenam dalam carta Liga Perdana dan layak menyertai saingan Piala Malaysia.

Norizam berkata Kelantan FC sudah menerima permohonan jurulatih dari Sepanyol, Hungary, Jerman dan beberapa negara untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengendali utama pasukan selain permohonan daripada beberapa jurulatih tempatan.

Katanya, beliau mahu jurulatih yang dipilih itu berpengalaman serta dapat bekerjasama dengan pemain dan pihak pengurusan untuk membentuk pasukan mantap.

“Saya mahu jurulatih itu mampu menerapkan mentaliti menjaringkan gol dan meraih kemenangan serta taktikal bertahan turut diperlukan supaya Kelantan FC tidak mudah dibolosi pihak lawan.

“Bola sepak hari ini lebih kepada kepantasan, kebijaksanaan untuk menjaringkan gol bagi meraih kemenangan dan bijak memerangkap pasukan lawan,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/755710/kelantan-tamat-kontrak-yusri