Teruja “Setelah Sekian Lama Berkurung”

KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC II (TFC II), Dhiyaulrahman Mohd Hasry mengakui teruja dapat menjalani latihan buat pertama kali selepas tiga bulan ‘berkurung’ di rumah sejak 18 Mac lalu.

Pemain berd4rah kacukan Malaysia-Indonesia itu bersama rakan sepasukannya menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak pagi semalam di bawah kendalian jurulatih, Roshadi Wahab dan penolongnya, Sapian Wahid.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, walaupun berlatih dalam suasana kebiasaan baharu dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, dia tetap positif dan membayangkan sebagai permulaan yang baik sebelum liga kembali bersambung.

“Sebelum melangkah ke padang pada jam 8 pagi, kami wajib melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum kami diagihkan kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada 10 pemain dengan sesi latihan bagi setiap kumpulan diadakan selama 45 minit.

“Latihan pula diadakan kira-kira dua meter bagi setiap pemain tanpa ada sebarang sentuhan dan sebaik selesai latihan, kami tidak dibenarkan memasuki bilik persalinan sebaliknya perlu pulang segera ke kediaman masing-masing.

“Walaupun kali pertama berlatih dengan SOP yang sudah tentu berbeza berbanding sebelum penularan wabak pandemik COVID-19, kami tetap mampu mengikuti SOP berkenaan, malah saya begitu gembira dan teruja bukan hanya dapat berlatih bersama rakan sepasukan tapi sudah tiga bulan tidak meny3pak bola,” katanya.

Sementara itu, Roshadi akui proses latihan berjalan lancar tanpa sebarang ins!den yang tidak diingini walaupun pemain sudah lama tidak berlatih bersama rakan sepasukan.

“Melihat raut wajah pemain jelas mereka begitu gembira kerana dapat berlatih bersama rakan sepasukan walaupun dalam suasana berlainan.

“Namun saya meletak harapan yang tinggi agar semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam suasana berkenaan sebelum liga kembali bersambung semula,” katanya.

Sumber-BH