TFC Tidak Mahu Terburu-Buru

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) Sdn. Bhd sedang ‘teropong’ calon yang sesuai untuk memegang jawatan sebagai pengarah teknikal skuad Penyu itu musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, berkata setakat ini terdapat tiga nama yang sudah disenarai pendek dan akan diteliti untuk menjawat jawatan itu.

Beliau menjelaskan TFC tidak mahu membuat keputusan terburu-buru memandangkan jawatan itu penting dalam usaha untuk melahirkan pemain berwibawa selain bersesuaian dengan DNA pasukan.

“Kita mempunyai cadangan tiga nama yang layak dipertimbangkan untuk dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan antaranya bekas pengendali kebangsaan dan Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim.

“Pengalaman beliau (Abdul Rahman) cukup bernilai kepada negeri ini lebih-lebih lagi sehingga kini beliau masih lagi aktif terutama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal walaupun sudah berusia.

“Tapi buat masa ini kita perlu menunggu maklum balas daripada beliau (Abdul Rahman) dan juga menilai keperluan semasa walaupun sepatutnya memang kita dah lantik jawatan pengarah teknikal ini awal lagi, namun kita harapkan semuanya akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain Abdul Rahman, turut berada dalam senarai calon untuk mengisi jawatan itu ialah bekas jurulatih skuad Liga Super musim ini selain seorang lagi jurulatih berpengalaman.

Musim depan Terengganu bakal memiliki dua pengarah teknikal masing-masing bawah TFC Sdn Bhd dan Persatuan Bolas3pak Negeri Terengganu (PBSNT).

Berdasarkan rekod, Abdul Rahman, 74, pernah membimbing pasukan kebangsaan memenangi pingat perak Sukan SEA pada 1987 serta tempat ketiga Piala T!ger (Piala AFF Suzuki) pada tahun 2000.

Beliau juga pernah menjadi ketua jurulatih Terengganu pada 1983, 1998 dan 2014 dengan pencapaian terbaik mara ke final Piala Malaysia pada 1998.

Sumber-MH