Categories
SUKAN

Tiada sebarang tawaran

KUALA TERENGGANU: Pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Mohd Faisal Halim mengesahkan setakat ini tiada lagi mana-mana ejen berhubung dengan beliau bagi menawarkan kontrak beraksi di luar negara.

Pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Mickey berkata jika kelab luar negara terbabit betul-betul serius untuk mendapatkan khidmatnya, sudah pasti akan ada tindakan susulan.

“Sehingga kini tiada tawaran atau tindakan susulan daripada mana-mana ejen atau kelab berhubung perkara itu. Jadi kini saya tidak lagi memikirkan perkara itu, sebaliknya fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan TFC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Apabila tamat kontrak bersama pasukan itu pada hujung tahun ini, baharulah saya memikirkan semula sama ada untuk beraksi bersama kelab di luar negara atau sebaliknya, itupun jika ada tawaran.

“Lagipun tawaran daripada kelab di Portugal tahun lalu, saya fikir bukan 100 peratus serius. Memang ada ejen hubungi saya, tapi bukan ejen kelab berkenaan. Lagi pun tiada jalan penyelesaian dan kata putus, maknanya pihak berkaitan kelab itu tidak begitu serius untuk mendapatkan khidmat saya,” katanya.

Pemain kebangsaan itu sebelum ini mendapat perhatian media tempatan apabila dua ejen dari Liga Sepanyol dan Portugal menghubungi ejen beliau selepas melihatnya beraksi bersama skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman, Oktober tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai sasarannya musim ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata, impiannya sekurang-kurangnya untuk membantu pasukan meraih satu piala kejuaraan.