Hasrat Dan Cita-Cita Kelab JDT Bakal Tercapai

Johor Bahru: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus meng0rak langkah untuk memajukan prasarana pasukan berkenaan selepas melancarkan Pusat Perubatan dan Kecergasan di Pusat Latihan Seri Gelam, petang tadi.

Pelancaran secara maya menerusi siaran video oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memperkenalkan kemudahan dan kelengkapan di pusat berkenaan dan ia adalah yang pertama di Asia Tenggara.

Malah pegawai perubatan dan pakar fisioterapi dilantik sepenuh masa.

Dengan wujudnya pusat perubatan berkenaan maka ia membuktikan betapa kelab JDT sentiasa ingin meneruskan usaha untuk muncul peneraju utama di rantau Asia Tenggara terutama dari aspek infrastruktur, kejayaan dalam padang, inovasi, jenama dan pembangunan.

Walaupun dilengkapi dengan kemudahan fasiliti terbaik, penambahan infrastruktur terbaharu yang terdapat di JDT, ia sekali gus menyaksikan peralatan baharu dan kepakaran untuk memastikan setiap pemain skuad Harimau Selatan berada pada tahap optimum.

Tunku Ismail berkata, kemudahan dan fasiliti yang terbaik untuk pemain JDT adalah diutamakan kerana ia beri kesan dalam jangka masa panjang terutama untuk proses pemulihan pemain dan ia penting agar pemain sentiasa berada di tahap permainan yang terbaik.

“Kami ingin menyediakan kemudahan dan fasiliti-fasiliti yang terbaik untuk para pemain kami. Ini termasuk fasiliti serta peralatan rehabilitasi dan pemulihan agar setiap pemain dapat memberikan prestasi yang terbaik.

“JDT adalah sebuah kelab yang bercita-cita untuk sentiasa meletakkan penanda aras dan meningkatkan standard… bukan sahaja dalam negara, tetapi juga luar negara. Kemudahan fasiliti dan kejayaan kami akan terus membina profil JDT dan membawa manfaat untuk masa depan,” kata Tunku Ismail

Pusat Perubatan dan Kecergasan itu bakal dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan perubata seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.

Hab ini juga turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.

Peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan perubatan yang sudah dibeli pada tahun-tahun sebelum ini.

Sumber-MH