Verdon Letak Jawatan Pengarah, CEO Sabah FC

KOTA KINABALU: Selepas hanya kira-kira dua minggu menjadi pemilik Sabah Football Club Sdn Bhd (Sabah FC), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarahnya, Datuk Verdon Bahanda, mengumumkan melepaskan tanggungjawabnya itu dalam syarikat pasukan berkenaan.

Dalam satu kenyataan medianya petang tadi, Verdon yang memegang 70 peratus saham dalam Sabah FC, berkata keputusannya itu berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan pertemuannya dengan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam yang memaklumkan keputusan SAFA untuk mer0mbak kepemimpinan badan induk itu dan Sabah FC.

“Dalam pertemuan itu, saya dimaklumkan SAFA akan membayar balik semua perbelanjaan yang saya keluarkan.

“Saya sedar, walaupun saya adalah pemilik saham terbesar dalam Sabah FC iaitu 70 peratus berbanding SAFA yang memiliki 30 peratus tetapi saya masih perlu mendapatkan mandat semua pihak berkepentingan dalam Sabah FC untuk membuat keputusan.

“Sebagai pemilik Sabah FC, saya juga bertanggungjawab sepenuhnya bagi menyediakan semua keperluan Sabah FC termasuk kewangan daripada dana saya sendiri untuk musim hadapan dan menyelesaikan semua tunggakan hutang SAFA,” katanya.

Verdon berkata ramai yang sedar kehadirannya dalam Sabah FC adalah untuk menyelamatkan keadaan dengan menyelesaikan beberapa perkara asas bermula daripada masalah kewangan dengan menggunakan dana sendiri termasuk membayar tunggakan hutang ditanggung SAFA.

“Seharusnya, saya mempunyai kuasa untuk mendapatkan hak pemilikan dalam Sabah FC kerana kedudukan saya sebagai ketua pegawai eksekutif yang dilantik adalah sangat rapuh dan boleh dilucutkan bila-bila masa mengikut kehendak SAFA. Sebelum ini SAFA sebulat suara dalam mesyuarat pada 5 Disember lalu setuju memberikan hak 70 peratus saham kepada saya.

“Selepas mendapat hak pemilikan dalam Sabah FC, saya merasakan semua masalah sudah selesai dan saya boleh menumpukan sepenuhnya usaha untuk memantapkan pasukan serta memperbaiki kelemahan yang ada tetapi malangnya, drama beberapa individu di dalam SAFA tidak berakhir lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Verdon berkata beliau hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan semula hak saham dalam Sabah FC kepada SAFA dan peletakan semua jawatan selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan dikeluarkannya sebelum ini.

Beliau kemudian memohon maaf kepada semua pihak khususnya penyokong Sabah FC jika beliau melakukan kesilapan walaupun hanya dalam tempoh yang singkat mengendalikan skuad Sabah FC.

“Percayalah, apa saja yang saya lakukan adalah usaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan demi kebaikan bola sepak Sabah walaupun mungkin sebahagian keputusan yang saya buat adalah di luar norma kebiasaan rentak pengurusan pasukan Sabah sebelum ini.

“Saya juga mohon maaf seikhlas hati kepada semua pemain Sabah FC yang sudahpun mula menjadi sebahagian daripada hidup saya beberapa minggu ini kerana terpaksa meninggalkan pasukan Sabah FC terlalu awal.

“Anda adalah permata yang cukup berharga dan saya percaya anda semua akan terus menabur bakti kepada pasukan Sabah tercinta kita. Janganlah jadikan kemelut dalaman pengurusan ini sebagai batu halangan untuk anda mencapai kejayaan.

“Saya mendoakan agar Sabah FC terus maju jaya di bawah pengurusan yang baharu dan saya yakin dengan kepemimpinan Bung Moktar sebagai peneraju baharu SAFA akan dapat memberikan impak besar kepada kemajuan bola sepak Sabah khususnya Sabah FC,” katanya.

Sumber-BH