Categories
TERKINI

Aaron-Wooi Yik terima insentif daripada BAM

Gandingan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, hari ini menerima insentif berjumlah RM300,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas kejayaan mereka menjuarai acara beregu lelaki dalam Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo bulan lalu.

Selain itu, Aaron dan Wooi Yik turut menerima wang ganjaran RM100,000 daripada 100plus dan RM100,000 lagi daripada Yonex dalam majlis pemberian insentif itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Buat Aaron dan Wooi Yik, yang kini merupakan gandingan nombor lima dunia, ganjaran tersebut merupakan satu tonik semangat untuk mereka mengecapi kejayaan lebih besar di pentas dunia.

Tambah mereka, kejayaan menamatkan penantian juara dunia pertama buat negara itu merupakan satu permulaan baru buat mereka sambil berhasrat untuk mengucup pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ia sebagai peringatan untuk kami bekerja lebih kuat kerana impian kami adalah untuk bergelar juara dunia dan juara Sukan Olimpik, jadi sudah pasti kami mahu menyasarkan pingat emas (Sukan Olimpik),” kata Wooi Yik kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

“Jadi, kami perlu berusaha gigih bermula sekarang kerana ia empat tahun sekali.

“Ramai pemain terbaik dunia sudah melakukan persiapan sejak bertahun-tahun lalu, jadi kami kini hanya mempunyai setahun-dua lagi untuk memperbaiki permainan kami,” katanya.

Aaron menambah: “Saya rasa kami kini lebih teruja untuk memenangi lebih banyak kejayaan.

“Tetapi saya perlu katakan yang ia merupakan impian kami dan bukannya 100 peratus kami akan menang.

“Bagaimanapun, kami memang meletakkan impian untuk memenangi lebih banyak gelaran.”

Dalam pada itu, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, turut mengumumkan bahawa Aaron dan Wooi Yik telah melanjutkan kontrak mereka bersama badan induk itu sehingga penghujung tahun 2024.