Categories
SUKAN

Persoalan bakal terjawab

KUALA LUMPUR: Apa lagi kejutan yang akan dibuat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)?

Persoalan itu yang bermain di fikiran peminat Harimau Selatan ketika ini selepas kelab berkenaan memaklumkan bahawa mereka bakal mengumumkan rakan antarabangsa baharu, esok.

Berdasarkan kenyataan ringkas di laman Facebook kelab, JOHOR Southern Tigers, juara bertahan Liga Super lapan kali berturut-turut itu berkemungkinan akan menambah rakan kerjasama bersama kelab luar negara.

“Era baharu akan datang tidak lama lagi. Nantikan pengumuman rakan antarabangsa baharu Johor Darul Ta’zim FC pada hari Isnin!,” tulis kelab itu.

Kenyataan ringkas itu turut disertakan dengan video pendek yang memaparkan logo kelab gergasi Eropah termasuk Juventus, Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG).

Untuk rekod, JDT sebelum ini dilaporkan menjalinkan kerjasama dengan kelab ternama dunia termasuk Juventus, City dan PSG serta beberapa lagi kelab Eropah.

 

Categories
SUKAN

Akui terima tawaran pasukan lain

Kuala Terengganu: Selepas membantu Terengganu merangkul ‘ibu segala pingat’ di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Jumaat lalu, ketua jurulatih skuad bola sepak, Badrul Afzan Razali belum pasti destinasinya pada musim depan.

Malah, beliau yang juga ketua jurulatih skuad Terengganu FC II (TFC II) belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sama ada bakal diberi tanggungjawab membimbing skuad Liga Simpanan musim depan atau sebaliknya, selepas Liga Perdana dimansuhkan mulai 2023.

Bagaimanapun bekas arkitek skuad Terengganu kelahiran Kemaman itu menaruh harapan tinggi untuk kekal membimbing skuad Terengganu biarpun setakat ini ada menerima tawaran daripada pasukan lain.

“Saya ada menerima tawaran daripada pasukan negeri lain untuk membimbing pasukan Liga Simpanan mereka, tapi saya belum membuat keputusan muktamad lagi kerana lebih cenderung untuk membimbing pasukan dari Terengganu.

“Pada masa sama saya masih menanti keputusan muktamad daripada pihak pengurusan Terengganu TFC Sdn Bhd sama ada memberi tanggungjawab membimbing skuad dari Terengganu atau sebaliknya.

“Jadi saya serahkan kepada pihak pengurusan, jika ada rezeki saya di Terengganu saya sedia berkhidmat di negeri kelahiran, tapi jika tiada rezeki di bumi Darul Iman, saya menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya jika beliau mendapat tawaran untuk membimbing pasukan Liga Super kelab lain musim depan, jurulatih berusia 46 tahun itu yang kini sedang mengambil kursus Lesen Kejurulatihan Pro A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedia pertimbangkan tawaran berkenaan.

“Jika ada tawaran daripada kelab lain dalam kancah Liga Super musim depan, saya sedia pertimbangkan tawaran itu untuk kembangkan lagi karier saya.

“Namun sebagaimana ditegaskan, saya lebih berminat untuk membimbing pasukan dari Terengganu selepas Liga Perdana dimansuhkan,” katanya yang berjaya membantu pasukan TFC II menamatkan saingan liga di kedudukan keempat, musim ini.

Terengganu menewaskan Pulau Pinang 2-0 di final Sukma 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Sumber : HM

Gol itu dijaringkan kapten, Muhammad Safwan Mazlan pada babak pertama dan gol kedua pasukannya menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan skuad Harimau Kumbang, Muhammad Aidil Azuan.

Categories
SUKAN

JDT bukan tempat persaraan pemain

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak mahu pasukan itu menjadi ‘tempat persaraan’ untuk mana-mana pemain yang sekadar menyertai mereka untuk menerima gaji besar sebelum ‘bersara.’

Ini kerana Tunku Ismail mahukan setiap pemain yang datang ke skuad Harimau Selatan memberi komitmen sepenuhnya kepada pasukan dengan beliau menyifatkan bekas pemain import, Luciano Figueroa sebagai pemain import terbaik pernah ditandatangani.

“Tiada individu boleh dikatakan bintang dan saya begitu bernasib baik untuk Luciano. Saya takkan dapat lagi pemain sama dengan harga dan komitmen diberikan seperti Luciano.

“Malaysia bukanlah destinasi untuk mana-mana nama besar. Kalau mereka mahu gaji besar dan liga hebat, mereka ke Jepun, China atau Arab Saudi. Jika mereka ke sini, mereka akan minta dua kali ganda daripada apa ditawarkan oleh negara lain.

“(Pemain) nak datang Malaysia setakat untuk pencen dan dapat duit tetapi tidak beri 100 peratus kepada pasukan, bukan itu yang saya mahukan,” katanya pada sesi temubual bersama penyokong, semalam.

Dalam masa sama, Tunku Ismail sempat mendedahkan pengalamannya bersama pemain terkemuka Argentina, Pablo Aimar yang pernah menyarung jersi pasukan itu pada 2013-14.

“Ketika saya tandatangani Aimar, dia cakap yang saya kena faham mengapa dia minta gaji (tinggi) kerana apabila datang ke Malaysia, dia sudah keluar daripada radar bola sepak, tidak wujud dalam bola sepak berdasarkan tahap liga kita pada masa itu.

Sumber : BH

“Kini memang ada peningkatan tetapi nak banding dengan negara lain, kelab mereka boleh beri duit yang lebih banyak daripada apa yang boleh kita bagi,” katanya.

Categories
SUKAN

Ubi Muda diyakini seiring Korea Selatan

Tidak mustahil sekiranya pemain Bawah 19 tahun negara (B-19) mampu menjadi setanding dengan pemain dari gergasi bola sepak Asia sekalipun mereka tidak melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20), tahun depan.

Keyakinan itu digariskan pengendalinya, Hassan Sazali Waras selepas melihat pemain yang dibawa untuk mengharungi pusingan kelayakan di Mongolia itu adalah dalam kelompok pemain yang benar-benar terbaik bagi menggalas tanggungjawab diberikan.

Namun beliau mengakui kelompok pemain ini masih kurang pendedahan khususnya menerusi minit permainan di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya jika kelompok pemain ini diberi peluang dengan perlawanan antarabangsa dan aksi kompetitif dalam liga tempatan, kita akan seiring dengan pasukan yang menguasai di peringkat Asia seperti Korea Selatan ini.

“Jadi positifnya adalah saya lihat ramai pemain berbakat dikenalpasti untuk kemajuan selanjutnya bagi menjadi pemain kebangsaan khususnya untuk skuad Bawah 23 tahun (B-23).

“Kita tahu banyak lagi kejohanan pada masa depan contohnya Sukan SEA 2023 dan 2025 serta kelayakan Olimpik,” katanya.

Terdahulu, skuad B-19 negara tidak berjaya dari perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023 susulan kemenangan 6-0 Mongolia ke atas Sri Lanka di Stadium MFF, Ulaanbatar, kelmarin.

Kemenangan besar luar jangka yang direkodkan Mongolia dalam aksi terakhir Kumpulan E itu menyaksikan mereka menduduki kedudukan kedua kumpulan dari Malaysia yang turun ke tangga ketiga.

Sumber : BH

Mongolia dan Malaysia berkongsi empat mata, namun pasukan tuan rumah aksi kelayakan Kumpulan E itu memiliki kelebihan jaringan.

Categories
SUKAN

Tonggak utama dilepaskan

Skuad kebangsaan akan bermain tanpa khidmat pertahanan tengah, Shahrul Saad bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand bermula 22 hingga 25 September ini.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam kenyataan, hari ini dengan menjelaskan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ada masalah kesihatan.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengesahkan Shahrul sudah dibenarkan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula semalam

Katanya, barisan kejurulatihan juga membuat keputusan untuk tidak memanggil pemain baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Shahrul.

“Shahrul melaporkan diri bersama pemain lain, semalam tetapi pemantauan oleh doktor pasukan terhadap keadaan kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati beliau tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai itu nanti.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sementara seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini. Tiada penambahan pemain baharu,” katanya.

Sumber : BH

Semalam, BH Sukan melaporkan Shahrul tidak menyertai latihan pertama skuad kebangsaan selepas diberitakan tidak sihat.

Ketiadaan Shahrul dijangka akan memberi peluang gandingan baharu di bahagian pertahanan tengah Harimau Malaya dengan antara pemain yang berada dalam skuad kali ini termasuk Sharul Nazeem Zulpakar, Ahmad Khuzaimi Piee dan Dominic Tan.

Categories
SUKAN

Status Aguero kini telah muktamad

Sergio Aguero akhirnya mengesahkan bahawa dia kini memiliki status warganegara Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan pemain kelahiran Argentina itu di laman Instagram miliknya, hari ini, dengan menjelaskan bahawa dia sangat berbangga menjadi rakyat negara ini.

Aguero yang berusia 28 tahun turut berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab itu kerana menyokongnya sepanjang proses mendapatkan status warganegara.

“Ia satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana sokongan orang di sekeliling saya, tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya berada.

“Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya serta keluarga dan saya berhasrat untuk tinggal lama di sini. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga.

“Tiada perkataan bagi menggambarkan betapa gembiranya saya dan tidak sabar untuk menyarung jersi emas dan biru dalam Piala Malaysia,” jelas Aguero.

Sebelum ini, pemain tengah Sri Pahang, Lee Tuck turut mengesahkan bahawa dia mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Pada 7 September lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa permohonan Sri Pahang untuk mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan diluluskan.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang meluluskan rayuan Sri Pahang untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi itu sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022.

Pendaftaran kedua-dua pemain berkenaan akan berkuatkuasa pada pertandingan Piala Malaysia tahun ini.

Sumber : BH

Untuk rekod, Sri Pahang mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua (28 Mei hingga 24 Jun lalu) namun pendaftaran itu belum diluluskan sebelum ini.

Categories
SUKAN

Pengurusan TFC juga ada perancangan terbaik musim depan

Kerajaan negeri belum menerima sebarang cadangan daripada pengurusan tertinggi Terengganu FC Sdn Bhd berhubung calon ketua jurulatih yang akan membimbing skuad Penyu musim depan.

Justeru, peluang untuk Nafuzi Zain kekal membimbing pasukan itu masih ada dan terbuka untuk rundingan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.

Katanya, sebagai pihak berkepentingan dan ahli lembaga pengarah dalam organisasi itu, pihaknya sentiasa menilai dari dekat perkembangan pasukan Terengganu FC (TFC).

“Sebagai ahli lembaga pengarah, kami membuat keputusan (calon ketua jurulatih) berdasarkan cadangan daripada barisan pengurusan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid Jusoh.

“Kita beri peluang dulu kepada pihak pengurusan untuk kemukakan apa-apa cadangan. Selepas itu kita akan bincang dan buat keputusan terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai calon ketua jurulatih TFC musim depan selepas Nafuzi memberi gambaran akan ke destinasi baharu memandangkan tiada tawaran lanjutan kontrak daripada majikannya sekarang.

Wan Sukairi berkata jika dinilai pencapaian dan prestasi semasa, Nafuzi masih layak diberikan tugas membimbing pasukan hitam putih musim depan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa pihak pengurusan juga mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan skuad Penyu.

“Kejayaan membawa TFC ke pentas akhir Piala FA selepas 11 tahun adalah satu pencapaian besar dan itu adalah bonus untuk beliau (Nafuzi) kekal di sini.

“Saya memahami kebimbangan penyokong bola sepak negeri tentang isu ini dan serahkan kepada pihak pengurusan untuk memberi cadangan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Sumber : Bernama / BH

Wan Sukairi berkata beliau juga percaya bahawa pihak pengurusan telah mengambil kira berkemungkinan ramai pemain yang akan berhijrah sekiranya skuad Penyu tidak lagi menggunakan kredibiliti Nafuzi sebagai ketua jurulatih.

Categories
TERKINI

JDT terus gah

Petaling Jaya (PJ) City meraih satu mata berharga selepas berjaya mengikat juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Bagaimanapun, satu mata yang diraih itu terus memacu perjalanan Harimau Selatan bagi memburu kejuaraan kesembilan musim ini dengan mereka kini mengumpul 43 mata, tujuh mata di depan pasukan tangga kedua, Sabah.

JDT yang juga juara Liga Super sejak 2014 memulakan sebahagian besar perlawanan babak pertama dengan menampilkan corak permainan mudah menerusi hantaran pendek ke kawasan PJ City.

JDT akhirnya berjaya dengan jaringan gol pada minit ke-48 apabila Bergson menyempurnakan sepakan penalti selepas bola tangan Filemon Anyie Standly.

PJ City yang dilihat mencipta peluang ke kem JDT apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain kebangsaan, Darren Lok hasil bantuan Mahali Jasuli pada minit ke-73.

Akhyar Rashid kembali menceriakan JDT apabila dia menjaringkan gol kedua Harimau Selatan pada minit ke-86, hanya kira-kira empat minit selepas dia masuk sebagai pemain gantian.

Sumber: BH

Jaringan penyamaan R Kogileswaran pada lewat permainan, sekali gus membolehkan PJ City meraih satu mata berharga.

Categories
TERKINI

Status Cools akhirnya terjawab

Ketika ramai penyokong mengimpikan Dion Cools akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), namun pemain Harimau Malaya itu terus kekal di Eropah apabila memeterai kontrak bersama pasukan Liga Republik Czech, FK Jablonec.

Perkembangan itu diumumkan pasukan itu semalam selepas kelab baharu pemain kebangsaan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi panggilan ke kem latihan pusat sebagai persiapan ke Piala Raja Thailand 2022, minggu depan.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai kelab yang beraksi dalam liga utama Republik Czech selepas kontraknya bersama FC Midtjylland tamat, minggu lalu.

Mengulas mengenai perpindahannya, Cools menjelaskan keputusan itu dibuat bagi mendapatkan minit permainan yang sudah pasti akan membantu untuk meningkatkan lagi mutu permainannya.

“Pasukan lama saya membuat keputusan untuk menukar sistem permainan yang berbeza di mana mereka tidak dapat memberi keyakinan untuk minit permainan kepada saya.

“Bagi saya, apa yang penting adalah saya dapat bermain dan sebab itulah saya bersetuju untuk menyertai FK Jablonec. Saya sudah bercakap dengan jurulatih dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua orang dalam pasukan ini.

“Saya menantikan semangat baharu dan saya percaya saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat di sini. Saya mahu membantu pasukan mencatat keputusan yang baik dengan persembahan saya,” katanya.

Selepas lapan perlawanan setakat ini, skuad bimbingan David Horejs itu menduduki tangga ke-13 daripada 16 pasukan.

Sumber : BH

Sebagai rekod, Cools pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti OH Leuven, Club Brugge serta Zulte Waregem.

Categories
SUKAN

Kini TFC punyai misi terbaharu

Terengganu FC boleh dianggap sebuah pasukan yang sangat baik dalam menguruskan pasukan ke tahap yang lebih baik dan cemerlang. Mereka berjaya layak ke perlawanan akhir piala FA dengan baik sekali.

Bagaimanapun dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini menghampiri kejuaraan Liga Super dan situasi itu akan membolehkan mereka bermain di Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan, pasukan ketiga Liga Super turut mempunyai peluang ke Piala AFC sama seperti naib juara Liga Super.

“Apa yang terbaik buat kita adalah untuk fokus pada aksi Liga Super kerana sebelum ini tumpuan lebih terarah kepada Piala FA. Saya rasa kita boleh untuk kedudukan tiga terbaik.

“Penang FC menjadi aksi seterusnya dan kita perlu fokus untuk baki permainan Liga Super musim ini demi pasukan,” katanya.

Buat masa ini, Terengganu FC menghuni tangga keempat Liga Super dengan 29 mata namun jarak enam mata di belakang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang ketika ini mengutip 35 mata.

NSFC beraksi lebih satu perlawanan sekali gus menyaksikan TFC boleh meningkat kelebihan enam mata itu kepada tiga mata jika berjaya menang satu perlawanan.

Dalam perkembangan sama, Nafuzi mengharapkan pasukan itu yang dibarisi pemain muda dapat mengambil pengajaran daripada pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dalam usaha menjadi pemain yang lebih baik.

“Pengalaman yang bagus untuk pemain muda kerana berpeluang beraksi di saingan berprestij seperti final Piala FA. Bagus untuk pengalaman mereka.

Sumber : BH

“Sudah tentu ini akan membantu meningkatkan lagi keyakinan mereka dan situasi ini memberikan masa depan yang baik bagi bola sepak negara,” katanya.