Cari Penyakit

PARIS: Legenda MotoGP Valentino Rossi dikecam selepas menaiki jet peribadi untuk meraikan harijadi teman wanitanya Francesca Sofia Novello.

Pelumba Itali berusia 41 tahun itu terbang ke Perancis untuk menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran ke-27 kekasihnya itu.

Rakan pelumba mengkritik tindakan Rossi selepas dia diuji positif COVID-19 sekembalinya dari Perancis.

Sambutan itu diadakan pada 13 Oktober dan juara dunia sembilan kali itu mengumumkan dia positif COVID-19 dua hari kemudian.

Akibatnya dia terlepas perlumbaan di Grand Prix Aragon minggu lalu dan tidak dapat menyertai aksi hujung minggu ini di litar sama.

Pelumba KTM dari Sepanyol, Pol Espargaro antara rakan pelumba yang menyelar tindakan Rossi.

“Semua orang mempunyai tanggungjawab untuk menyedari risiko yang ada.

“Mereka yang mahu berlumba tidak boleh menghadiri pesta harijadi atau parti.

“Di rumah saya tidak bertemu rakan-rakan, saya tidak ke restoran atau ke mana-mana.

“Musim ini agak berbeza dan orang yang paling malang ialah pemandu yang dijangkiti COVID-19 kerana dia tidak boleh berlumba.

“Saya bersama isteri dan anak perempuan saya mengambil langkah berjaga-jaga yang ekstrem: saya membasuh tangan 30 kali sehari dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Valentino akan terlepas dua perlumbaan dan kejuaraan semakin sukar baginya. Dia bertanggungjawab terhadap tindakannya,” kata Espargaro.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2020/10/744222/rossi-sengaja-cari-penyakit