Diperkenankan Sultan Perak

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan susulan menerima mengadap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, 3 petang semalam di Istana Kinta Ipoh.

“Susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa berlangsungnya Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri yang bersidang pada 4 Disember, Datuk Seri Ahmad Faizal menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak terj3jas secara langsung berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Dengan itu beliau mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dipersembahkan melalui warkah bertarikh 5 Disember 2020 mendapat perkenan Baginda.

“Duli Yang Maha Mulia menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang sudah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018 setelah mendapat perkenan baginda dua kali mengangkat sumpah jawatan iaitu kali pertama pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac lalu.

“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan atas perkhidmatan yang sudah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.

Sumber-MH