Categories
SUKAN

Gergasi Merah Kuning musnah impian Sabah

KOTA KINABALU: Usaha Sabah FC menebus kekalahan di tangan Selangor FC gagal selepas tewas 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Pada 23 Julai lalu, skuad Sang Badak dihampakan pasukan The Red Giants pada aksi suku akhir Piala FA yang menyaksikan Sabah tewas 2-0 di laman sendiri.

Dalam aksi malam ini, bibit kekalahan Sabah bermula pada minit ke-23 sejurus Selangor mendahului 1-0 melalui Mukhairi Ajmal.

Selangor juga tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan pada babak pertama permainan apabila berjaya menyumbat satu lagi gol seminit kemudian melalui Brendan Gan.

Dengan kedudukan 2-0 memihak kepada Selangor pada minit ke-24, pemain Sabah terpaksa bekerja keras untuk mencari jaringan bagi menghalang kemenangan pasukan pelawat.

Kapten tuan rumah, Baddrol Bakhtiar akhirnya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-29 hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Bola tendangannya terkena bahagian bawah palang gol menyebabkan bola melantun ke bawah dan terus masuk ke dalam gawang.

Berselang 11 minit kemudian, pemain import Sabah, Jose Embalo berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi rembatan leret ke arah gawang Selangor.

Sumber : BH

Ia adalah gol pertama penyerang baharu Sang Badak itu yang sebelum ini dikritik penyokong Sabah kerana kurang menonjol.

Bagaimanapun, kedudukan yang terikat 2-2 itu berubah pada minit ke-75 selepas seorang lagi pemain import Selangor, Hein Htet berjaya meledak jaringan, sekali gus membolehkan Selangor kembali di depan dengan 3-2.

Usaha Sabah untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan selepas itu tidak berhasil, menyebabkan kedudukan 3-2 yang memihak kepada Selangor itu kekal hingga tamat permainan.