Kehadiran Bakal Mantapkan Sri Pahang

KUANTAN: Sri Pahang FC menaruh kepercayaan kepada ketua jurulatih baharu, Christophe Gamel untuk mengembalikan prestasi terbaik kelab itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Semalam Sri Pahang mengumumkan pelantikan Gamel sebagai ketua jurulatih baharu kelab berkenaan bermula 1 Disember lalu bagi menggantikan Dollah Salleh yang kini menjadi pengurus pasukan.

Gamel sudah bersama Sri Pahang sebagai penolong jurulatih pada awal musim 2021 sebelum diberikan peranan untuk mengendalikan pasukan Piala Presiden.

Jurulatih kelahiran Perancis berusia 49 tahun itu dikagumi kerana kebolehan untuk bekerja dengan pemain muda dan senior serta penerapan corak permainan bola sepak menyerang dan menghiburkan.

Menurut Lembaga Pengarah Sr Pahang, Gamel adalah individu tepat untuk membimbing dan mengembalikan prestasi pasukan itu ke tahap yang sepatutnya.

“Kita sudah membuat penilaian mendalam dan mendapati kehadiran beliau cukup disenangi pemain muda di dalam kelab yang akan menjadi antara tunjang utama pasukan bagi musim baharu.

“Beliau juga berpengalaman membimbing dan mengetengahkan ramai pemain muda di Perancis dan Qatar selain mengambil keputusan berani untuk menguji kredibilitinya dengan membimbing pasukan kebangsaan Fiji pada 2016.

“Ia cukup jelas setelah perbincangan antara kedua-dua pihak bahawa cita-cita, falsafah bola sepak dan nilai yang dibawa Gamel ke dalam kelab sepenuhnya menepati apa yang Sri Pahang mahukan.

“Justeru, kita gembira beliau bersetuju untuk membimbing pasukan dan membantu Sri Pahang bangkit serta berkembang sebagai pasukan lebih baik bermula 2022,” katanya.

Sementara itu, Gamel berkata, Sri Pahang adalah sebuah pasukan yang mempunyai sejarah dan tradisi yang hebat dalam Liga M dan berbangga untuk menjadi ketua jurulatih baharu pasukan itu.

“Saya boleh rumuskan kelab ini mempunyai cita-cita dan perancangan besar untuk masa depan dan saya bersedia untuk membantu mereka mencapai sasaran ditetapkan.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh presiden dan pengurusan kelab. Saya juga berharap akan mendapat sokongan penuh daripada penyokong,” katanya.

Sebagai rekod, Gamel terbabit dalam bidang kejurulatihan sejak 1990 bersama pasukan CS Meaux B-9 dan pernah membimbing skuad Qatar B-17 dan B-19 selain menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Fiji.