Categories
SUKAN

Ng Tze Yong kembali jalani latihan

Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, harus melupakan pertandingan Terbuka Vietnam hujung bulan ini bagi memberi tumpuan menjalani latihan intensif selepas berterusan menyertai kejohanan musim ini.

Pada masa sama, pemain 22 tahun itu akan mewakili negeri Johor dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang bakal membuka tirai Jumaat depan.

“Tempoh latihan saya tidak mencukupi agar dapat buat persiapan yang lebih bagus dalam kejohanan berikutnya.

“Prestasi saya meningkat dengan pesat selepas menjalani latihan intensif selama lima minggu sebelum ini jadi kali ini saya mengharapkan peningkatan yang lebih banyak.

“Mungkin saya perlu tekankan aspek gimnasium dan stamina. “Kalau sebelum ini saya tidak menghadapi tekanan dalam kejohanan tetapi sekarang sudah lain.

“Kali ini saya kena tengok bagaimana saya mengawal tekanan selain akan fokus satu persatu pertandingan,” katanya dalam sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Nama Tze Yong juga turut didaftarkan dalam pertandingan Jelajah Dunia BWF, iaitu Terbuka Denmark dan Perancis bermula 18 Oktober 2022.