Mulianya hati Azmeer Yusof

Lumrah kehidupan sebagai seorang pemain bola sepak profesional kebiasaannya gemar mempamerkan kereta-kereta mewah, percutian di luar negara atau menghadiri majlis-majlis kenamaan yang dimuat naik di media sosial.

Namun berbeza buat tonggak pertahanan Kedah, Azmeer Yusof apabila memuat naik satu perkongsian di Facebooknya apabila dia mahu memberi peluang kepada 10 orang lelaki berusia bawah 40 tahun untuk belajar Al-Quran di rumahnya di Tongkang Yard, Alor Setar.

Lebih mengujakan, pembelajaran itu diberikan secara percuma tanpa perlu membayar apa-apa.

“Salam Jumaat.. Saya nak buka rumah saya ini kepada kaum lelaki bawah 40 tahun yang nak mengaji mahupun belajar mengaji.

“Jangan malu, jangan segan. Ini kalam Allah. Kita wajib belajar, kita wajib membaca. Sekurang-kurangnya tiap kali datang satu muka surat pun jadilah, janji kita ada usaha untuk membaca.

“Kita kena akui, akhir zaman ini kita dah pun ‘tinggalkan’ Quran. Untuk permulaan ini saya nak mencari dalam 10 orang.

“Tuan-tuan bawa diri saja, Quran dan ustaz saya sediakan, InsyaAllah. Paling mustahak tak perlu bayar apa-apa. Rumah saya di Tongkang Yard. Yang berminat boleh ‘pm’ saya, 10 orang terawal sahaja,” katanya.

Apa yang dilakukan oleh Azmeer ini sememangnya jarang-jarang dibuat oleh pemain profesional. Moga usaha murni pemain skuad Lang Merah ini mendapat keredhaan Ilahi.

Sumber : HM