Categories
SUKAN

Pengurusan TFC juga ada perancangan terbaik musim depan

Kerajaan negeri belum menerima sebarang cadangan daripada pengurusan tertinggi Terengganu FC Sdn Bhd berhubung calon ketua jurulatih yang akan membimbing skuad Penyu musim depan.

Justeru, peluang untuk Nafuzi Zain kekal membimbing pasukan itu masih ada dan terbuka untuk rundingan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.

Katanya, sebagai pihak berkepentingan dan ahli lembaga pengarah dalam organisasi itu, pihaknya sentiasa menilai dari dekat perkembangan pasukan Terengganu FC (TFC).

“Sebagai ahli lembaga pengarah, kami membuat keputusan (calon ketua jurulatih) berdasarkan cadangan daripada barisan pengurusan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid Jusoh.

“Kita beri peluang dulu kepada pihak pengurusan untuk kemukakan apa-apa cadangan. Selepas itu kita akan bincang dan buat keputusan terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai calon ketua jurulatih TFC musim depan selepas Nafuzi memberi gambaran akan ke destinasi baharu memandangkan tiada tawaran lanjutan kontrak daripada majikannya sekarang.

Wan Sukairi berkata jika dinilai pencapaian dan prestasi semasa, Nafuzi masih layak diberikan tugas membimbing pasukan hitam putih musim depan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa pihak pengurusan juga mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan skuad Penyu.

“Kejayaan membawa TFC ke pentas akhir Piala FA selepas 11 tahun adalah satu pencapaian besar dan itu adalah bonus untuk beliau (Nafuzi) kekal di sini.

“Saya memahami kebimbangan penyokong bola sepak negeri tentang isu ini dan serahkan kepada pihak pengurusan untuk memberi cadangan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Sumber : Bernama / BH

Wan Sukairi berkata beliau juga percaya bahawa pihak pengurusan telah mengambil kira berkemungkinan ramai pemain yang akan berhijrah sekiranya skuad Penyu tidak lagi menggunakan kredibiliti Nafuzi sebagai ketua jurulatih.