Sarah Bukan Biasa-Biasa

NAMA penyanyi cilik, Sarah Qistina Lim mungkin masih asing buat pengikut industri muzik tanah air. Namun, siapa sangka, pada usia 11 tahun, Sarah sudah mengg0ndol 17 kemenangan dan anugerah dalam bidang muzik.

Bakat penyanyi yang meminati muzik klasik, muzikal dan pop ini sememangnya cukup besar dan kemampuannya digilap sejak usia empat tahun.

“Ketika berusia empat tahun, guru vokal menyedari kemampuan saya apabila dapat meneka nota lagu dengan hanya mendengar nada yang dimainkan.

“Guru kemudian berjumpa ibu untuk mengesahkan sama ada bakat saya ini disedari ibu bapa dan keluarga. Itulah yang membuka laluan buat saya untuk berkarya,” katanya.

Pada 2019, Sarah yang ketika itu berusia sembilan tahun mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Perfect Pitch’ Paling Muda.

“Ibu saya membawa bertemu dengan pihak MBOR selepas disarankan oleh rakannya. Di sana, saya diuji beberapa panel yang juga orang profesional dalam bidang muzik.

“Selepas ujian dijalankan dan diteliti, saya kemudian diiktiraf sebagai ‘Perfect Pitch’ Paling Muda,” katanya.

Terbaharu, Sarah yang juga ahli program Genius Seni Koir di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) baru sahaja menerima anugerah ke-16 dan ke-17 pada acara Malaysia International Gold Award Ceremony 2021 yang berlangsung Sabtu minggu lalu.

Dalam acara itu, dia menerima dua anugerah iaitu Malaysia Top 10 Outstanding Vocalist Award 2021 dan Malaysia Top 10 Outstanding Performer Award 2021.

Sarah juga pernah beberapa kali membuat persembahan di New York, Amerika Syarikat dan pernah bekerjasama dengan komposer dan pemuzik terkemuka tanah air, Datuk Wah Idris.

“Tahun lalu, selepas saya memenangi pingat emas di World Championship of Performing Arts (WCOPA 2020), pihak penganjur mempertemukan saya dengan Datuk Wah Idris.

“Kebetulan, ketika itu dia juga menyertai pertandingan untuk penulis lagu dan berhasrat untuk saya menyanyikan lagu ciptaannya. Jadi, selepas berbincang dia juga bersetuju untuk lagu itu dijadikan single saya.

“Kalau tiada ar4l melintang, lagu berjudul Sunrise itu akan dilancarkan pada 1 Januari depan,” katanya.

Selain itu, Sarah juga sudah menyiapkan rak4man single kedua berjudul Who I Am ciptaan Daniel Verrapen dan lirik oleh Amni Musfirah.

Selain nyanyian, Sarah juga berkemampuan memainkan lima alat muzik iaitu oboe, dram, gitar, cello dan piano.

Apa yang pasti, kehadiran Sarah akan membawa warna dan menambah rencah dalam industri muzik tanah air.