Satu Motivasi Buat Safawi

KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid berharap pentas Piala Suzuki AFF 2020 akan menjadi medan untuk dia mendapat kembali sentuhan beliau bersama skuad Harimau Malaya.

Menyedari prestasinya ketika ini tidak berada pada tahap terbaik, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu bagaimanapun menganggap ia sebagai motivasi untuk kembali dengan persembahan lebih baik.

Justeru, dia mengharapkan bantuan daripada rakan sepasukan dan doa seluruh rakyat Malaysia untuk skuad Harimau Malaya dapat melangkah jauh di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

“Lumrah dalam bola sepak, kadang-kadang kita naik dan kadang-kadang turun. Tahun ini mungkin burvk bagi saya, tapi tahun depan mungkin yang terbaik dan mana tahu Piala Suzuki AFF ini rezeki bagi saya lagi.

“Bagi saya, benda ini (prestasi menurun) bagus untuk pemain bola sepak kerana ia bagi motivasi kepada kita untuk kembali semula seperti mula-mula nak bermain bola s3pak.

“Mungkin jika kita selalu di atas, kita akan rasa selesa dan kita ambil mudah. Sekarang ini, saya rasa seperti mula-mula saya nak bola dan akan cuba yang terbaik untuk Piala AFF,” katanya.

Safawi menjadi antara watak penting ketika membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF pada 2018.

Namun, prestasinya ketika ini agak menurun yang menyaksikan dia kurang beraksi dalam kesebelasan utama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagi skuad Harimau Malaya, Safawi sekali lagi akan bersa-ing dengan seorang lagi bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi di posisi sayap apabila pemain itu dipanggil jurulatih Tan Cheng Hoe pada saat akhir.

Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai Kumpulan B Piala AFF Suzuki bertemu Kemboja di Stadium Bishan, Singapura pada Isnin.