Categories
SUKAN

Tonggak utama dilepaskan

Skuad kebangsaan akan bermain tanpa khidmat pertahanan tengah, Shahrul Saad bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand bermula 22 hingga 25 September ini.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam kenyataan, hari ini dengan menjelaskan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ada masalah kesihatan.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengesahkan Shahrul sudah dibenarkan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula semalam

Katanya, barisan kejurulatihan juga membuat keputusan untuk tidak memanggil pemain baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Shahrul.

“Shahrul melaporkan diri bersama pemain lain, semalam tetapi pemantauan oleh doktor pasukan terhadap keadaan kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati beliau tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai itu nanti.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sementara seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini. Tiada penambahan pemain baharu,” katanya.

Sumber : BH

Semalam, BH Sukan melaporkan Shahrul tidak menyertai latihan pertama skuad kebangsaan selepas diberitakan tidak sihat.

Ketiadaan Shahrul dijangka akan memberi peluang gandingan baharu di bahagian pertahanan tengah Harimau Malaya dengan antara pemain yang berada dalam skuad kali ini termasuk Sharul Nazeem Zulpakar, Ahmad Khuzaimi Piee dan Dominic Tan.