Categories
SUKAN

Status Aguero kini telah muktamad

Sergio Aguero akhirnya mengesahkan bahawa dia kini memiliki status warganegara Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan pemain kelahiran Argentina itu di laman Instagram miliknya, hari ini, dengan menjelaskan bahawa dia sangat berbangga menjadi rakyat negara ini.

Aguero yang berusia 28 tahun turut berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab itu kerana menyokongnya sepanjang proses mendapatkan status warganegara.

“Ia satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana sokongan orang di sekeliling saya, tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya berada.

“Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya serta keluarga dan saya berhasrat untuk tinggal lama di sini. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga.

“Tiada perkataan bagi menggambarkan betapa gembiranya saya dan tidak sabar untuk menyarung jersi emas dan biru dalam Piala Malaysia,” jelas Aguero.

Sebelum ini, pemain tengah Sri Pahang, Lee Tuck turut mengesahkan bahawa dia mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Pada 7 September lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa permohonan Sri Pahang untuk mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan diluluskan.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang meluluskan rayuan Sri Pahang untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi itu sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022.

Pendaftaran kedua-dua pemain berkenaan akan berkuatkuasa pada pertandingan Piala Malaysia tahun ini.

Sumber : BH

Untuk rekod, Sri Pahang mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua (28 Mei hingga 24 Jun lalu) namun pendaftaran itu belum diluluskan sebelum ini.