Status e-Bazar Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneruskan konsep jual beli secara e-bazar sepanjang Ramadan ini, dengan memastikan penjarakkan sosial dilakukan dalam pelbagai keadaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya yakin konsep itu boleh diteruskan di Selangor tetapi perlu mengekalkan disiplin serta kawalan sedia ada. “Jika kita benarkan restoran untuk beroperasi bagi tempahan dan hantar, kenapa kita tidak boleh benarkan bazar yang konsep lebih tersusun serta terkawal?

“Menerusi e-bazar, kita tidak akan membenarkan pembelian secara terus (walk in) sebaliknya kita akan sediakan dapur berpusat untuk pengumpulan (juadah), manakala pengambilan dan penghantaran akan dilakukan syarikat e-panggilan,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 15 lokasi dikenal pasti untuk dijadikan dapur berpusat, bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai kesesuaian lokasi berkenaan.

Jelasnya, kerajaan negeri juga sudah berbincang dengan beberapa syarikat e-panggilan supaya memberi ruang yang adil, selain memastikan akan ada beberapa limitasi dalam penghantaran serta masa untuk menghantar makanan. “Walaupun kerajaan negeri melaksanakan e-bazar, kita tidak dapat menampung semua peniaga bazar Ramadan kerana terdapat limitasi dari segi logistik.

“Pembeli juga tidak boleh mengharapkan e-bazar ini seperti bazar Ramadan yang kebiasaan kita pergi kerana menu yang akan disediakan lebih terhad dan sekadar memenuhi permintaan pembeli,” katanya. Amirudin berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan kaedah pendaftaran untuk peniaga e-bazar dalam masa terdekat.

Semalam, Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk tidak membenarkan semua jenis gerai dan bazar Ramadan secara pandu lalu serta tempah dan ambil sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber : BH