Categories
SUKAN

Ubi Muda diyakini seiring Korea Selatan

Tidak mustahil sekiranya pemain Bawah 19 tahun negara (B-19) mampu menjadi setanding dengan pemain dari gergasi bola sepak Asia sekalipun mereka tidak melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20), tahun depan.

Keyakinan itu digariskan pengendalinya, Hassan Sazali Waras selepas melihat pemain yang dibawa untuk mengharungi pusingan kelayakan di Mongolia itu adalah dalam kelompok pemain yang benar-benar terbaik bagi menggalas tanggungjawab diberikan.

Namun beliau mengakui kelompok pemain ini masih kurang pendedahan khususnya menerusi minit permainan di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya jika kelompok pemain ini diberi peluang dengan perlawanan antarabangsa dan aksi kompetitif dalam liga tempatan, kita akan seiring dengan pasukan yang menguasai di peringkat Asia seperti Korea Selatan ini.

“Jadi positifnya adalah saya lihat ramai pemain berbakat dikenalpasti untuk kemajuan selanjutnya bagi menjadi pemain kebangsaan khususnya untuk skuad Bawah 23 tahun (B-23).

“Kita tahu banyak lagi kejohanan pada masa depan contohnya Sukan SEA 2023 dan 2025 serta kelayakan Olimpik,” katanya.

Terdahulu, skuad B-19 negara tidak berjaya dari perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023 susulan kemenangan 6-0 Mongolia ke atas Sri Lanka di Stadium MFF, Ulaanbatar, kelmarin.

Kemenangan besar luar jangka yang direkodkan Mongolia dalam aksi terakhir Kumpulan E itu menyaksikan mereka menduduki kedudukan kedua kumpulan dari Malaysia yang turun ke tangga ketiga.

Sumber : BH

Mongolia dan Malaysia berkongsi empat mata, namun pasukan tuan rumah aksi kelayakan Kumpulan E itu memiliki kelebihan jaringan.