Categories
SUKAN

Kegigihan ubah corak pemikiran kunci Aaron-Wooi Yik lakar gemilang – Rexy Mainaky

Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menggariskan kejayaan dimahkotakan juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Dunia BWF 2022 adalah bukti kesungguhan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Dalam penentuan gelaran di Pusat Gimnasium Metropolitan Tokyo bertemu Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, hari ini, beregu utama kebangsaan itu mempamerkan persembahan jitu dalam aspek bertahan sebelum peralihan corak permainan.

Lantas, Rexy menjelaskan anak buahnya itu sebenarnya memikirkan dengan keyakinan sedangkan masing-masing memiliki potensi.

“Yang pertama, mereka mempamerkan prestasi yang tepat dan kesungguhan dalam memperbaiki kesilapan dalam Sukan Komanwel.

“Mereka sedar kesilapan terlepas emas Sukan Komanwel dan dalam seminggu, mereka cuba memperbaiki segalanya; corak pemikiran mereka selain komunikasi di atas dan di luar gelanggang.

“Jadi ini satu kesungguhan mereka untuk menjadi juara dunia,” katanya ketika dihubungi Nadi Weekend hari ini.

Kesediaan dan perasaan gemuruh sering mengiringi pemain negara terutama dalam situasi yang singkat, tetapi Aaron-Wooi Yik nyata mempunyai formula kebangkitan ketika berhasil mengawal permainan juara tiga kali itu sebelum mendahului buat pertama kali dalam mata terakhir set awal.

“Saya selalu mengingatkan bahawa mereka harus lebih bekerja gigih daripada siapa yang mereka hadapi.

“Andai pihak beregu dalam perlawanan memberikan 100 peratus, Aaron-Wooi pula harus berikan lebih 90 peratus.

“Dalam tempoh seminggu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia. Saya siapkan cara berfikir, psikologi, pandangan mereka dan apabila mereka melakukan kesilapan ketika berlatih, saya akan hentikan latihan dan berbincang dengan mereka.

“Beritahu kalau mereka kesilapan ini terjadi, ia akan berulang lagi,” katanya.